Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap
terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa
akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi
Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah
kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain. Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada
Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.
Setelah mendapat jawapan,
Nabi Musa. Turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut
tempat yang diberitahu. Setelah beberapa
hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ,
beliau berjaya bertemu dengan orang
tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk
ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian
dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya
dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi
Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan. Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan
baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar
semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan
membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan
dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang.
Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.
"Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu
agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat
begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi
itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah
telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya.
Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu
urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya
tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi.
Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan
tugasku.", sambungnya. "Setiap
hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia
yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda
itu lagi. Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai
Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya
yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya.
Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia
berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan
maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami." Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah
berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya.
Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam
neraka telah Kami pindahkan ke
dalam syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat
menebus dosa ibubapa yang
akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun
hingga ke peringkat rupa ayah
dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa
kita itu bukan urusan kita, urusan
kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita,
urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita
diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya
mendapat tempat yang baik di akhirat,
inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur. Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan
melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya
ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di
sisi Allah.
0 komentar:
Posting Komentar